Abdul Rahman Bin Nik Mazian
Pada suatu masa dahulu kala, terdapat seekor singa yang bijaksana. Oleh sebab kebijaksanaan baginda, maka beliaulah yang menguasai dan menjadi raja di hutan. Semua binatang di hutan tersebut menghormati baginda. Oleh sebab kebjiaksanaan baginda, maka jadilah binatang-binatang hidup dalam keadaan aman sejahtera.

Tersebut pada suatu hari, Sang singa pergi berjalan-jalan di dalam hutan. Maka, baginda terjumpa dengan suatu perigi. Oleh sebab haus, baginda mengambil keputusan untuk singgah sebentar meminum ar dari perigi tersebut. Akan tetapi, sesudah beberapa kali mencuba, baginda tetap gagal untuk meminum air dari perigi tersebut.

Selang beberapa detik selepas itu, muncul seekor harimau yang juga kehausan. Dia mahu meminum air dari perigi tersebut. Namun, Sang Singa tidak mahu memberi kebenaran kepada harimau itu. Sang Singa bimbang perigi itu diambil oleh Sang Harimau.

Harimau berkata, "kalau engkau tidak mahu memberi aku minum, jom kita beradu tenaga. Siapa yang menang, akan menjadi pemilik perigi ini!"
"No problemo!" sahut Sang Singa dengan gahnya.

Lalu, bermulalah pertarungan hebat antara dua binatang yang gagah perkasa itu. Serangan demi serangan ditujukan oleh Sang Singa tetapi mudah dipatahkan oleh si harimau. Ternyata, harimau lebih tangkas menghadapi serangan demi serangan daripada singa yang kepenatan.

Sang Singa yang merasakan diri di ambang kekalahan berfikir, "apa aku nak buat sekarang? da nak kalah ni. penat seh."
Mata Sang Singa melilau sekeliling mencari ruang untuk melancarkan serangan. Tiba-tiba baginda akan kelibat burung nasar berlegar di ruang udara tepat di atas kepala baginda. Disusuli dengan gelak tawa dubuk di sebalik semak samun.

"Wah, diorang ni suka sangat tengok aku dan harimau bertarung. Nak tunggu siapa mati dulu... hmm,"fikir Sang Singa.
Dush!
Satu penangan padu hinggap di muka Sang Singa. Pandangan singa gelap buat seketika. Baginda rebah tersungkur ke bumi.
"HAHAHA! Lihatlah siapa yang lebih kuat. Aku! Aku, Sang Harimau! Sekarang, apa yang lagi yang kau mampu buat wahai Singa?" kata Harimau dengan bangganya.
Sang Singa menjawab,"Baiklah. Wahai harimau. Aku ingin bertanya kepadamu satu soalan. Adakah kamu sangka kamu telah menang dengan menewaskan aku?"
"Ya!" jawab Harimau ringkas.
"Tidak wahai Harimau. Kamu tidak menang dengan menewaskan aku. Aku juga tidak menang jika engkau tewas di tanganku."
Sang Harimau kehairanan, "Apa maksudmu?"
"Cuba kau lihat di sekeliling. Terdapat burung nasar dan dubuk sedang menanti tewasnya salah seekor dari kita. Mereka sedang menanti bangkai aku atau kau. Merekalah yang sebenarnya menang dari pertarungan kita. Jadi, usahlah kita teruskan pertarungan kita."
"Tapi aku sedang mendahului kau. Aku tidak rugi jika kau yang tewas dahulu." sampuk Harimau
"Tidak wahai Harimau. Kita haiwan gagah perkasa lagi mulia tidak harus jatuh sebegitu rendah untuk dijadikan bangkai. Kita tidak harus menjadikan musuh-musuh di sekeliling mengambil kesempatan daripada kelemahan-kelemahan kita. Oleh itu, Marilah sama-sama kita berdamai dan tolong menolong untuk sama-sama minum air dari perigi ini. Aku dahaga sangat ni." kata Sang Singa bersahaja.
"Laa... bagitau la awal-awal yang kau pun dahaga. Aku pun dahaga jugak ni. Kau ni. Tujuan kita sama. Tak payah la nak gaduh-gaduh in the first place. Jom aku tolong kau ambil air dari perigi ni," sahut Harimau dengan lega.
"Maaf ya," balas Sang Singa

Lalu, kedua-dua binatang itu senang hati dapat meminum air dari perigi tersebut. Tamat.

pengajaran: Setiap umat islam harus menjadi seperti Sang Singa yang bijaksana, berfikir untuk kebaikan bersama. Bukan menjatuhkan dan menghancurkan antara satu sama lain yang akhirnya musuh-musuh Islam mengambil kesempatan di atas kelemahan umat Islam itu sendiri. Komunikasi yang mantap dan berbaik sangka di antara jemaah-jemaah Islam, Insya Allah kita semua dapat berganding bahu menolong antara satu sama lain menuju satu tujuan yang sama, iaitu kebangkitan Islam. Amin.